Home > Uncategorized > Facebook

Facebook

 

Facebook

Facebook merupakan sebuah lawan web sosial yang kian digilai remaja, budak kecil mahupun orang dewasa. Tidak salah jikalau kita mengatakan bahawa mereka yang mempunyai akaun Facebook – pasti akan membukanya paling kurang sekali dalam sehari.

Itulah penangan Facebook – sebuah laman web yang ditubuhkan oleh seorang yang berbangsa Yahudi. Tetapi persoalannya, bolehkah kita menggunakan Facebook?

Saya tertarik dengan artikel daripada Ustaz Zaharuddin dalam ruangan Muamalat, dalam buku Solusi – Isu No. 17, muka surat 38-40. Setelah saya membacanya, benarlah terdapat baik buruknya Facebook itu sendiri. Saya ingin berkongsi beberapa pendapat yang dituliskan oleh Ustaz Zaharuddin. Saya edit sedikit tulisan beliau agar dapat difahami.

“Dalam konteks Facebook, semua penulisan yang membantah Facebook belum lagi dapat mengemukakan sebarang bukti yang jelas untuk mengatakan bahawa Facebook tersebut menyalurkan dana kepada organisasi Yahudi. Semuanya membuat andaian itu dan ini, sedangkan andaian semata-mata tidak boleh mengubah hukum asal keharusan kepada haram. Ia sekadar boleh mengajak kota untuk berhati-hati dan peka sahaja.

Majoriti pengguna Facebook tidak menggunakan sebarang transaksi kewangan dengan syarikat tersebut, kecuali bagi mereka yang menyertai skim-skim yang ditawarkan. Di sini saya boleh katakan, kajian telah dibuat dan saya (Ustaz Zaharuddin) gagal mendapatkan sebarang bukti untuk menyokong andaian-andain pihak yang membuat andaian.

Jika dikatakan: “Bukti bertulis tentulah dirahsiakan oleh pihak syarikat Facebook dan mereka memberikan sumbangan secara senyap-senyap.”

Islam tidak memberatkan kita untuk membuat andaian semata-mata. Jika andaian sedemikian masih lagi digunakan, kelak akan mengakibatkan kesukaran yang berat buat seluruh umat Islam dalam banyak perkara. Oleh sebab itu, selagi tidak disertakan dan tidak mampu dihadirkan bukti bertulis, selagi itulah hukumnya harus untuk berjual beli dengan penjual atau syarikat milik Yahudi. Jika berjual beli pun dibenarkan, apatah lagi sekadar membuka akaun Facebook yang percuma.

Nabi Muhammad SAW sendiri pernah berurusan dan membuat transaksi jual beli dan cagaran (al-Rahn) dengan seorang Yahudi. ‘A’ishah RA berkata:

“Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh dan mencagarkan baju besi baginda.” [HR al-Bukhariy, hadith no. 2326]

Kesimpulannya, saya tidak berhasrat untuk menyenaraikan satu persatu baik buruk penggunaan Facebook, cuma apa yang ingin saya sampaikan adalah seperti berikut:

Harus membuka akaun Facebook selagi tidak terbukti ia menggunakan pengaruh dan keuntungannya untuk menyerang Islam atas nama Facebook sama ada melalui dana kepada Yahudi, Amerika dan lain-lain.

Bagi mereka yang masih tidak selesa dengan latar belakang pengasas dan syarikat Facebook, mereka dinasihatkan untuk membuka dan menyertai Facebook. Mereka boleh terus memberi nasihat kepada pengguna Facebook agar sentiasa berhati-hati, namun tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh pengguna Facebook melakukan perkara yang haram secara umum.

Jika semua itu dapat dijaga dan disedari, saya berpendapat mengguna dan membuka akaun Facebook adalah kekal dalam hukum harus atau dibenarkan, malah jika ia lebih banyak digunakan untuk kemaslahatan Islam, ia digalakkan. Malah jikalau terdapat unsur-unsur syubhah sekalipun, telah diatasi oleh manfaat yang disebarkan melalui Facebook itu.”

Itulah tulisan Ustaz Zaharuddin. Dan di kolum kecil tepinya, ada tertulis:

Tips penggunaan Facebook

  1. Memanipulasikan akaun Facebook untuk manfaat Islam melebihi kepentingan peribadi. Justeru, ruang yang ada wajar digunakan untuk mempromosi kefahaman Islam melalui tulisan, video, audio dan sebagainya.
  2. Tidak memasukkan perincian peribadi yang sensitif seperti akaun bank, taraf kesihatan dan sebagainya. Cukuplah sekadar menyertakan nama, tarikh lahir dan latar belakang pendidikan.
  3. Tidak berkongsi terlalu banyak gambar peribadi (khususnya bagi wanita) tanpa had. Tanpa kawalan, ia bakal memudaratkan berbanding membawa manfaat. Perlu diingatkan bahawa tulisan itu akan kekal di Facebook orang yang berkongsi dan juga syarikat Facebook.
  4. Jaga aurat dan pandangan mata. Jangan memuat turun gambar yang tidak lengkap penutupan auratnya (khususnya wanita), apatah lagi yang benar-benar mendedahkan aurat.
  5. Elakkan mengumpat dalam Facebook kerana sudah terang lagi bersuluh bahawa mengumpat itu diibaratkan seperti memakan bangkai saudara sendiri dan hukumnya adalah haram.
  6. Hadkan dan kurangkan perbincangan soal remeh-temeh peribadi yang membuang masa diri sendiri dan orang lain.
  7. Tidak terlibat dengan permainan-permainan dan aplikasi yang dijangka bercanggah dengan Islam seperti kuiz ramalan nasib. Sama ada kerana suka-suka atau sebaliknya.
  8. Tidak mempercayai aplikasi tilik moden seperti rahsia tarikh lahir dan sepertinya yang terkandung dalam aplikasi percuma Facebook, sama ada suka-suka atau sebaliknya.
  9. Menyedari bahawa maklumat di Facebook boleh menjadi database (pangkalan data) pihak asing untuk memantau kehidupan dan informasi peribadi jika tidak dikawal. Database sebegini sebenarnya amat bernilai, malah ada satu organisasi di dunia ini yang mampu menyimpan maklumat manusia sebagaimana Facebook. Hatta parti politik masing-masing pun tidak mempunyai ahlinya yang sebegitu update sebagaimana Facebook. Maklumat sebegini amat banyak gunanya untuk pelbagai tujuan kejahatan dan ketamakan.

Begitulah kawan-kawan. Sebenarnya, ianya bergantung pada diri kita sendiri. Apa yang kita semai, itulah yang akan kita tuai. Sekiranya kebaikan yang kita buat ketika ‘berFacebook’, maka itulah manfaat yang akan kita dapat. Tetapi sekiranya kita menggunakan ke arah keburukan seperti mengumpat orang, menceritakan keaiban orang lain, mendedahkan personaliti rakan-rakan, kitalah yang akan menanggung dosanya. Siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedasnya.

Saya juga ingin memetik ‘Pesan Nenek’ di dalam buku Solusi juga, Isu ke 19, muka surat 107. Nenek menyebut:

“Facebook, Myspace dan pelbagai laman sosial yang lain kini sudah menjadi ketagihan dan trend kepada para remaja, malah orang dewasa juga terlibat sama. Nenek ingin melahirkan rasa bimbang melihat anak remaja berjam-jam duduk melayari Facebook. Cuba tanyakan pada mereka – Apa sebenarnya yang mereka cari? Apakah sekadar menghubungi reman dan kenalan? Yang lebih membimbangkan ianya menjurus kepada perkenalan bebas antara lelaki dan perempuan. Bermula dari Facebook, tidak mustahil boleh membawa ke arah hubungan yang lebih membimbangkan kita.

Apakah hati lelaki dan perempuan ini boleh terjaga daripada fitnah syaitan? Bukankah ia termasuk dalam ‘pergaulan bebas’ walaupun di alam maya?

Mungkin ada yang tidak setuju dengan pendapat nenek, namun itulah hakikatnya. Inilah daya tarikan yang menyebabkan setiap remaja ingin mempunyai Facebook sendiri. Daya tarikan ini mengakibatkan remaja menjadi ‘ulat komputer’ berbanding menjadi ‘ulat buku’. Mereka menjadi liat untuk menelaah buku sekolah, apatah lagi aktiviti surau, kebajikan, masjid dan sebagainya.

Dalam Facebook, sudah menjadi kebiasaan para remaja – memaparkan foto keluarga dan diri. Ada yang memaparkan foto tanpa menutup aurat walhal di sekolah sentiasa bertudung. Soalnya, apa jua material yang dipaparkan di Internet akan menjadi tontonan umu, dan apakah kita tidak bimbang mengenainya?

Para ibu ayahnya mungkin tidak sedar, tambahan pula dengan kerja yang sibuk dan pulang kepenatan.

Zaman nenek dahulu, pantang anak dara tergedik-gedik dan menonjol di khalayak, ibu ayah amat sensitif tentang hal-hal seumpama ini. Kalau boleh anak-anak dara mahu dikurung sahaja di rumah. Jika ada orang lelaki yang hendak bergambar dengan kita, jangan haraplah. Amaran ayah tentang dosa dan fitnah sangat menakutkan. Jika ada yang ingin berkenalan dan meminta sekeping gambar, jangan diberikan takut terfitnah. ‘Orang boleh berbuat jahat dengan gambar tersebut.’

Dan inilah juga pesan nenek kepada cucu-cucu. Mengapa semudah itu anak-anak remaja kita mendedahkan profil diri dan gambar?

Jika zaman dahuku hendak bertegur sapa dengan lelaki pun akan dipandang serong sekalipun kita kenal lelaki tersebut. Namun di dalam Facebook, sesiapa sahaja boleh bertegur sapa tanpa segan silu.

Satu lagi perkara yang membimbangkan nenek ialah para ibu bapa yang membiarkan akses Internet kepada anak-anak tanpa had dan pemantauan. Kononnya memudahkan anak-anak mencari maklumat yang diperlukan untuk kerja sekolah. Namun ingin nenek berpesan, berhati-hatilah dan pastikan kita ambil tahu apa yang dilayari oleh anak-anak itu untuk tujuan yang betul.

Berbalik kepada permasalahan Facebook, gunalah ikut keperluan. Janganlah menjadi ketagihan yang akhirnya membawa musibah kepada umat Islam terutama anak-anak kita; masa terbuang, berlaku pergaulan tanpa had, menimbulkan fitnah dalam hati, tenggelam dalam kelalaian dan sebagainya.

Bagi mengisi masa lapang anak-anak, seimbangkan masa mereka di depan komputer dengan aktiviti-aktiviti pada waktu petang seperti mencangkul rumput, menyapu halaman, menanam sayur, menternak dan sebagainya.”

Itulah sedikit sebanyak perkongsian tentang Facebook. Tuntasnya, semuanya terletak pada tiap-tiap individu itu sendiri – bagaimana ia memanfaatkannya. Saya lebih cenderung pada pendapat yang mengatakan supaya kita menggunakan Facebook sebagai alternatif untuk berdakwah. Letakkan post-post yang berkaitan dengan Islam – misalnya tuliskan hadith-hadith Nabi SAW, letakkan maksud ayat-ayat al-Qur’an, kupasan-kupasan menarik mengenai masalah-masalah Feqah, video yang bermanfaat tentang Islam dan bacaan ayat-ayat al-Qur’an.

Tidak perlulah untuk menulis apa yang tersirat di hati kita untuk dikongsi dengan orang ramai. Cukuplah sekadar kita bertanyakan khabar, memberitahu info-info terkini tentang ceramah, kuliah dan sebagainya, dan memberi nasihat kepada orang yang memerlukan.

Gunakan peluang yang percuma di kaca komputer anda untuk mnyebarkan lagi dakwah Islamiyyah, semoga dengan usaha kita, ramai yang semakin cenderung untuk menghayati ajaran Islam.

Perlu diingatkan juga, gambar sangat memainkan peranan yang penting dalam menarik minat manusia terhadap kita, terutamanya kaum wanita. Tidak perlulah meletakkan gambar-gambar yang mengghairahkan atau dapat memikat hati lelaki, kerana fitnah wanita sangatlah besar. Cukuplah sekadar gambar yang menutup aurat, dan supaya orang dapat mengenal kita. 1 atau 2 gambar pun sudah memadai sebenarnya.

Wallahu a’lam. Saya mohon maaf sekiranya ada menyinggung mana-mana pihak. Fikirlah sebelum anda bertindak. Untuk maklumat lanjut, sila layari:

http://www.zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/930-dosa-dosa-a-facebook.html#comments

http://salafus-sholih.blogspot.com/2010/06/tabarruj-ialah-mendedahkan-kecantikan.html

Categories: Uncategorized Tags:
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: