Home > Uncategorized > Al-Qur’an

Al-Qur’an

Segala puji dan puja hanya kepada Allah s.w.t. Selawat dan salam kepada baginda RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam dan kepada para sahabat baginda, seterusnya kepada orang yang mengikuti ajaran baginda sehingga ke hari kiamat.

Al-Qur’an merupakan kalam Allah yang diturunkan oleh Allah secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – melalui perantaraan Jibril – ‘alayhissalam. Keutamaannya daripada perkataan dan tulisan yang lain adalah seperti keutamaan Allah daripada seluruh makhluk-Nya. Dan membacanya adalah amalan yang paling utama untuk dilakukan oleh lisan (lidah) seseorang Muslim.

Soalan 1: Apakah kelebihan membaca al-Qur’an?


Mendapat 10 kebaikan, sabda Rasulullah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam:

“Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (Al-Qur’an) maka baginya satu kebaikan dan sepuluh kebaikan seumpamanya.” [HR Al-Bukhariy]

Seperti buah yang harum lagi lazat, sabda Nabi – sallalLahu ‘alayhi wa sallam:

“Perumpamaan orang Mukmin yang membaca Al-Quran, adalah seperti bunga utrujjah, baunya harum dan rasanya lazat; orang Mukmin yang tidak membaca Al-Quran, adalah seperti buah kurma, baunya tidak begitu harum, tapi manis rasanya; orang munafiq yang membaca Al-Quran ibarat sekuntum bunga, berbau harum, tetapi pahit rasanya; dan orang munafiq yang tidak membaca Al-Quran, ia tak ubah seperti buah hanzalah, tidak berbau dan rasanya pahit sekali.”

Soalan 2: Apakah kelebihan mempelajari al-Qur’an, menghafalnya dan pandai membacanya?

Ia akan bersama dengan para dan akan mendapat pahala, sabda RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam:

“Perumpamaan orang yang membaca Al-Qur’an dan menghafalnya, dia bersama dengan malaikat yang mulia lagi suci, dan perumpamaan orang yang membaca Al-Qur’an dan sentiasa melakukannya walaupun dia dalam keadaan susah untuk menyebutnya, maka baginya dua pahala.” [Muttafaq ‘alayh]

Soalan 3: Apakah kelebihan bagi orang yang mengajarkan Al-Qur’an?


Dia adalah sebaik-baik manusia, sabda Nabi – sallalLahu ‘alayhi wa sallam:

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Qur’an dan mengajarkannya.” [Riwayat al-Bukhariy]

Soalan 4: Apakah kelebihan pada ibubapa yang anaknya mempelajari Al-Qur’an?

Ibu bapa akan dipakaikan dengan mahkota dan pakaian yang sangat berharga, sabda RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam:

“Barangsiapa yang membaca Al-Qur’an, mempelajarinya dan beramal dengannya, maka ibu bapa mereka akan dipakaikan dengan mahkota dari cahaya yang terang seperti cahaya matahari, dan mereka akan dipakaikan dengan dua pakaian yang lebih bernilai daripada dunia. Kedua ibubapa tersebut bertanya: Mengapa kami dipakaikan dengan pakaian dan perhiasan seperti ini? Mereka dijawab: “Kerana anakmu telah membawa (membaca, mempelajari dan beramal dengan) Al-Qur’an.” [Riwayat al-Hakim]

Soalan 5: Bagaimanakah untuk mendapat syafaat Al-Qur’an pada hari kiamat kelak?


Dengan membaca Al-Qur’an, sabda Nabi – sallalLahu ‘alayhi wa sallam:

“Bacalah Al-Qur’an, kerana ianya akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada orang yang membacanya.” [Riwayat Muslim]

Dalam riwayat lain, Nabi – sallalLahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

“Puasa dan Al-Qur’an, kedua-duanya akan memberikan syafaat kepada seorang hamba pada hari kiamat kelak…” [Riwayat Ahmad dan al-Hakim]

Soalan 6: Apakah kelebihan bagi orang yang berkumpul untuk membaca dan mengkaji Al-Qur’an?

Mereka akan dilimpahkan ketenangan, dicucuri rahmat, diliputi para malaikat dan disanjung oleh Allah, sebagaimana sabda RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam:

“Tidak berkumpul suatu kaum di salah satu rumah Allah Ta’ala, sedang mereka membaca kita-Nya dan mengkajinya sesama mereka, melainkan mereka akan dilimpahi dengan ketenangan, dicucuri rahmat, diliputi para malaikat dan disanjung oleh Allah di hadapan para makhluk yang berada di sisi-Nya.” [Riwayat Abu Dawud]

Soalan 7: Apakah adab-adab ketika membaca Al-Qur’an?

Ibnu Kathir telah menyebutkan, antara adabnya ialah:

  1. Tidak menyentuh Al-Qur’an atau membacanya melainkan dalam keadaan suci.
  2. Bersiwak sebelum membacanya.
  3. Mengenakan pakaian yang terbaik.
  4. Menghadap kiblat.
  5. Berhenti membaca ketika menguap.
  6. Tidak memotong bacaan dengan sesuatu perkataan kecuali apabila perlu.
  7. Memfokuskan seratus peratus konsentrasi ketika membaca.
  8. Ketika melalui ayat yang mempunyai ancaman, hendaklah memohon perlindungan kepada-Nya.
  9. Ketika melalui ayat yang mempunyai janji atau berita gembira, hendaklah memohon kepada Allah.
  10. Tidak membiarkan Al-Qur’an dalam keadaan terbuka.
  11. Tidak meletakkan sesuatu di atas Al-Qur’an.
  12. Tidak mengeraskan bacaan terhadap orang lain.
  13. Tidak membaca Al-Qur’an di pasar atau di tempat-tempat hiburan.

Soalan 8: Bagaimanakah caranya untuk membaca Al-Qur’an?

Anas – radiyalLahu ‘anhu – ketika ditanya tentang cara bacaan RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam, beliau menjawab:

“Baginda sentiasa membaca dengan perlahan (sesuai dengan hukum tajwidnya, panjang pendeknya). Jika baginda membaca Bismillahirrahmanirrahim, baginda membaca dengan perlahan Bismillah, baginda membaca dengan perlahan Ar-Rahman, dan baginda membaca dengan perlahan Ar-Rahim.” [Riwayat al-Bukhariy]

Soalan 9: Adakah pahala membaca Al-Qur’an akan berlipat ganda?

Setiap orang yang membaca Al-Qur’an dengan ikhlas akan mendapat pahala. Namun pahala ini dilipat gandakan sekiranya dihadirkan hati ketika membaca, mentadabburnya dan memahami apa yang dia baca. Satu huruf boleh dilipat gandakan daripada 10 kebaikan sehingga 700 kali ganda.

Soalan 10: Berapakah jumlah ayat yang perlu dibaca sehari semalam?

Para sahabat biasanya menetapkan untuk diri mereka sendiri berapa ayat yang perlu dibaca sehari semalam. Namun, tidak ada seorang pun daripada mereka yang mengkhatamkannya dalam waktu kurang daripada 7 hari. Ini kerana ada larangan daripada baginda – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – untuk mengkhatamkan kurang daripada 3 hari, kerana kemungkinan orang yang membacanya tidak memahami apa yang dibacanya.

Maka bersungguh-sungguhlah untuk membacanya wahai kawan-kawan! Manfaatkanlah waktu anda untuk membacanya, walaupun dengan membaca satu muka surat setiap kali lepas solat. Buatlah kadar bacaan yang perlu dibaca setiap hari, dan janganlah tinggalkannya walau dalam apa keadaan sekalipun. Jika anda lalai untuk lakukan kadar bacaan tersebut, gantikanlah ia pada keesokan harinya.

Sabda Nabi SAW: “Siapa sahaja yang tertidur (dan tidak sempat untuk) melakukan hizbnya (kadar bacaan yang telah dia tetapkan) atau sesuatu darinya, lalu dia membacanya antara waktu solat Subuh dan Zohor, maka akan dicatat baginya pahala seakan-akan ia telah membacanya pada malam hari.” [Riwayat Muslim]

Mana satu yang anda akan pilih?

 

Categories: Uncategorized
  1. hamba allah
    January 20, 2011 at 2:31 pm

    info menarik.
    tapi kalau diperbaiki saiz tulisan
    dan warna akan lebih mudah dan senang dibaca.

    • January 25, 2011 at 4:38 am

      trima kasih atas comment trsbut🙂
      Alhamdulillah skrg blog WB dh tampil dgn theme yang baru, lbih mnarik dan lbih sng utk dibaca.
      Smoga anda dpt manfaat drpdnya🙂

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: