Home > Uncategorized > Tak kenal maka tak cinta

Tak kenal maka tak cinta

Assalamualaikum. Pada bulan 6 tahun lepas, saya dan ayah bermusafir ke Kuala Kangsar untuk mengambil saudara di sana. Di pertengahan jalan, kami berhenti di R&R untuk solat maghrib dan isya’. Kebetulan di situ terdapat satu kiosk yang menjual buku-buku agama. Subhanallah.. Terasa lemahnya diri ini dan kurangnya ilmu di dada apabila melihat buku-buku yang mengenengahkan soal agama yang dipandang remeh oleh masyarakat dan isu-isu semasa.

Saya sempat membeli sebuah kitab Syama’il Muhammad yang dikarang oleh Imam al-Tirmiziy dan telah diterjemahkan dalam Bahasa Indonesia. Buku ini mengandungi hadith-hadith yang menggambarkan fizikal dan susuk peribadi Rasulullah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam, sehingga boleh dikatakan lengkap untuk memberi gambaran bagaimana character RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – yang kita cintai.

Pada zaman yang serba moden ini, remaja dan golongan muda sekarang sudah diracuni dengan gaya hidup bebas dan berpakaian bebas. Bahkan akhlak yang ditonjolkan oleh remaja dan manusia sekarang begitu jauh berbeza berbanding akhlak yang ditunjukkan oleh baginda – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – dan para sahabat baginda. Corak kehidupan kita yang lebih mementingkan “apa kata orang”, berbangga-bangga dengan pakaian dan meniru gaya barat telah menjadi halangan pada kita daripada mencontohi peribadi RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam.

Adakah kita mahu membiarkan diri kita terus hanyut dengan arus permodenan yang semakin mengikis nilai-nilai kemanusiaan yang menjadi fitrah manusia? Sehingga bebas bergaya dengan apa-apa sahaja fesyen dan trend terkini daripada hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Atau adakah kita mahu mengikut segala hadith yang menggambarkan sifat peribadi manusia agung, Nabi yang Ummi dan menjadi pemberi syafaat pada umatnya pada hari kiamat kelak.

Sekiranya kita ditanya oleh seseorang, “Mcam mana rambut Rasulullah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam? Mcm mana janggut RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam? Mcm mana cara Nabi makan, cara Nabi tidur dan cara Nabi minum?” Apakah jawapan kita wahai kawan2?

Sedangkan di dalam Al-Quran, Allah – Subahanahu wa Ta’ala – telah menyebutkan di dalam surah al-Ahzab, ayat 21 yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah ada pada diri RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan yang banyak mengingati Allah.”

Justeru, pada post kali ini marilah kita menghayati sedikit sebanyak character RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam, supaya kita kenal pada Nabi yang telah banyak berjasa pada diri kita dan seluruh umat Islam. Berikut adalah beberapa hadith yang menggambarkan mengenai peribadi Nabi kita iaitu Muhammad – sallalLahu ‘alayhi wa sallam.

1. Sifat fizikal RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam

Anas bin Malik – radiyalLahu ‘anhu – meriwayatkan:

“Bentuk tubuh RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu pendek. Kulit beliau tidak terlalu putih dan tidak gelap. Rambut beliau tidak terlalu kerinting dan tidak terlalu lurus. Allah – subahanahu wa Ta’ala mengutus beliau sebagai Rasul ketika beliau memasuki usia yang keempat puluh. Beliau tinggal di Mekah selama sepuluh tahun dan di Madinah selama sepuluh tahun. Beliau wafat ketika usianya mencecah enam puluh, semetara uban di rambut dan janggut beliau tidak mencapai dua puluh helai.” [HR al-Tirmiziy, al-Bukhariy, Muslim, Malik dan Ahmad]

Ali Bin Abi Talib – radiyalLahu ‘anhu – meriwayatkan:

“Bentuk tubuh RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – tidak tinggi dan tidak pendek. Baginda memiliki tapak tangan yang besar dan bulu dada yang panjang. Ketika berjalan, tubuh baginda tegap seperti sedang menuruni tanah yang landai (cerun). Saya belum pernah melihat seorang pun yang sama dengan baginda, baik sebelum mahupun selepas baginda (wafat).” [HR al-Tirmiziy dan Hakim]

2. Tanda kenabian RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam

Jabir bin Samurah meriwayatkan:

“Saya melihat tanda kenabian di antara kedua bahu RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam, iaitu daging berwarna merah sebesar telur burung merpati.” [HR al-Tirmiziy, Muslim dan Ahmad]

3. Rambut RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam


‘A’isyah – radiyalLahu ‘anha – meriwayatkan:

“Rambut RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – melebihi wafrah, namun tidak sampai jammah.” [HR Abu Dawud]
Wafrah adalah rambut yang sampai ke bahagian bawah telinga, jika melebihinya disebut lammah, sedangkan jika sampai bahu disebut jammah.

Bara’ Ibnu Azib meriwayatkan:

“RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – memiliki bentuk badan yang sedang-sedang (tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu pendek), bahagian badan antara kedua bahunya lebar, rambut bahagian depan beliau sampai di bahagian bawah daun telinganya.” [HR al-Tirmiziy, al-Bukhariy, Muslim dan al-Nasa’ie]

Ibnu ‘Abbas meriwayatkan:

“Bahawasanya RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – biasa membiarkan rambut baginda terurai. Ketika itu, orang-orang Musyrik merapikan rambut mereka, sementara Ahlul Kitab selalu membiarkan rambut mereka terurai. RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – lebih suka meniru perilaku Ahlul Kitab selama belum ada ketentuan daripada Allah. Kemudian RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – merapikan rambut baginda.” [HR al-Tirmiziy, al-Bukhariy, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad]

4. Kerapian rambut RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam

Anas Ibnu Malik meriwayatkan:

“RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – melarang kami untuk merapikan rambut dengan berlebihan kecuali hanya sesekali.” [HR al-Tirmiziy, Abu Dawud, al-Nasa’ie dan Ahmad]

5. Bercelak


Ibnu ‘Abbas meriwayatkan bahawa RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

“Hendaklah kalian bercelak dengan menggunakan batu celak (al-ithmid), kerana celak dapat memperjelaskan penglihatan dan menumbuhkan bulu mata.” [HR al-Tirmiziy dan Abu Dawud al-Thayasali]

Yazid bin Harun meriwayatkan:

“RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – memiliki sebuah bekas celak yang beliau gunakan untuk bercelak setiap kali hendak tidur, sebanyak tiga kali di tiap2 mata beliau.” [HR al-Tirmiziy]

6. Pakaian RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam

Ummu Salamah meriwayatkan:

“Pakaian yang paling disukai oleh RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – adalah jubah.” [HR al-Tirmiziy dan Abu Dawud]

Samurah bin Jundub meriwayatkan bahawa RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

“Hendaklah kamu semua mengenakan pakaian berwarna putih. Sesungguhnya pakaian berwarna putih itu lebih suci dan lebih baik bagi kamu. Dan hendaklah kamu mengkafankan orang yang meninggal dunia dengan kain kafan yang berwarna putih.” [HR al-Tirmiziy, Ibnu Majah, Abu Dawud al-Thayalisi, Baihaqi dan al-Hakim]

7. Cara RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – berjalan

Abu Hurayrah – radiyalLahu ‘anhu – meriwayatkan:

“Saya tidak pernah melihat apa-apa yang lebih indah daripada RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam, seolah-olah matahari beredar di wajah baginda. Saya juga tidak pernah melihat seseorang yang berjalan lebih laju daripada RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam, seolah-olah bumi dilipat untuk baginda. Sungguh, kami harus memaksa diri (untuk berjalan seperti itu) dan baginda tidak peduli (terhadap rasa lelah kami).” [HR al-Tirmiziy, Ahmad, Abu Syaikh dan Ibnu Sa’ad]

8. Cara RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – tidur

Contoh cara tidur Rasulullah

Abdullah bin Zaid meriwayatkan:

“Ia (Abdullah) melihat RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – tidur terlentang di dalam masjid dan meletakkan salah satu kaki baginda di atas kaki yang lain.” [HR al-Tirmiziy, al-Bukhariy dan Muslim]

Bara’ bin Azib meriwayatkan:

“Ketika hendak tidur, RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – selalu meletakkan tangan kanan di bawah pipi kanan baginda sambil berdoa, ‘Rabbi qini azabaka yauma tub’athu ‘ibadaka (Ya Rabb, lindungilah aku dari azab-Mu pada hari ketika Engkau membangkitkan hamba-hamba-Mu [dari kubur]) [HR al-Tirmiziy, Ahmad dan al-Nasa’ie]

Abu Qatadah meriwayatkan:

“Jika RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – hendak tidur di malam hari, baginda berbaring menghadap ke akan. Jika baginda ingin tidur sebentar sebelum Subuh, baginda menegakkan lengan dan meletakkan kepala baginda di atas telapak tangan baginda.” [HR al-Tirmiziy, Muslim, Ahmad, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim]

9. Cara RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – makan


Ka’ab bin Malik meriwayatkan:

“RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – makan dengan menggunakan tiga jari baginda. Sesudah makan, baginda menjilat ketiga-ketiga jarinya.” [HR al-Tirmiziy, Muslim, Abu Dawud dan Ahmad]

Ka’ab bin Malik meriwayatkan dalam hadith yang lain:

“Sesudah makan, Nabi – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – menjilat ketiga-tiga jari baginda sebanyak tiga kali.” [HR al-Tirmiziy]

10. Doa sebelum dan sesudah makan

Umar bin Salamah meriwayatkan bahawasanya suatu hari dia mendatangi RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam. Di rumah baginda ada makanan. RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

“Kemarilah. Sebutlah nama Allah (bismillah sebelum kamu makan) dan makanlah dengan tangan kanan apa yang ada di hadapanmu.” [HR al-Tirmiziq, al-Bukhariy, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah, al-Nasa’ie, al-Darimi, al-Baihaqi dan Ahmad]

Abu Umamah meriwayatkan:

“Apabila hidangan telah diangkat dari hadapan RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam, baginda mengucapkan: Alhamdu lilLahi hamdan kathiran thayyiban mubarakan fihi, ghaira muwadda’, wa la mustaghnan ‘anhu rabbana. (Segala puji bagi Allah dengan pujian yang berlimpah, baik serta diberkahi, pujian yang dihaturkan tanpa henti, pujian yang sentiasa kami perlukan, wahai Tuhan kami.” [HR al-Tirmiziy, al-Bukhariy, Abu Dawud, Ibnu Majah, al-Nasa’ie, al-Baghawi dan Ahmad]

11. Cara RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – minum

Thumamah bin Abdillah meriwayatkan:

“Anas bin Malik menghirup air 3 kali ketika minum dari sebuah bekas. Dia meyakini bahawa RasululLah (juga) menghirup tiga kali ketika minum dari sebuah bekas.” [HR al-Tirmiziy, al-Bukhariy dan Muslim]

Anas bin Malik meriwayatkan:

“RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – menghirup air tiga kali ketika minum dari sebuah bekas. Baginda bersabda: Hal ini lebih menyihatkan dan memuaskan.” [HR al-Tirmiziy, Muslim, Abu Dawud, al-Nasa’ie dan Ahmad]

12. Cara RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – memakai wangian

Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

“Ada tiga (pemberian) yang tidak boleh ditolak, iaitu bantal, minyak wangi dan susu.” [HR al-Tirmiziy, Abu Syaikh dan al-Baghawi]

Abu Hurayrah – radiyalLahu ‘anhu  – meriwayatkan bahawa RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

“Wangian bagi lelaki adalah wangian yang keras baunya dan warnanya tidak nampak. Sedangkan wangian bagi perempuan adalah wangian yang warnanya nampak dan baunya tidak keras/menyengat.” [HR al-Tirmiziy, Abu Dawud, al-Nasa’ie dan Ahmad]

13. Cara RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – berbicara

‘A’isyah – radiyalLahu ‘anha – meriwayatkan:

“RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – tidak pernah berbicara seperti kamu semua yang berbicara sangat cepat ini. Baginda selalu berbicara dengan jelas dan terperinci sehinggakan orang-orang yang duduk bersama baginda dapat menghafalnya.” [HR al-Tirmiziy, Abu Dawud, Ahmad dan Abu Syaikh]

14. Cara RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – ketawa

Abdullah bin Harith bin Jaza’ – radiyalLahu ‘anhu – meriwayatkan:

“Saya tidak pernah melihat seseorang yang lebih sering tersenyum daripada RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam.” [HR al-Tirmiziy dan Ahmad]

“Tawa RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – hanyalah senyuman.” [HR al-Tirmiziy]

Jarir – radiyalLahu ‘anhu – meriwayatkan:

“Sejak saya masuk Islam, RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – tidak pernah melarang saya untuk mengunjungi baginda. Setiap kali melihat saya, baginda pasti tertawa.” [HR al-Tirmiziy, al-Bukhariy dan Muslim]

“RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – tidak pernah melarang saya untuk mengunjungi baginda. Sejak saya masuk Islam, baginda pasti tersenyum melihat saya.” [HR al-Tirmiziy, al-Bukhariy dan Muslim]

15. Cara RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – bergurau

Hasan al-Basri meriwayatkan:

“Seorang perempuan yang sudah tua mendatangi RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – lalu berkata, ‘Wahai RasululLah, doakanlah agar saya boleh masuk syurga.’ Baginda menjawab, ‘Wahai Ummu Fulan! Syurga tidak dihuni oleh perempuan yang sudah tua.’ Mendengar hal itu, perempuan itu segera bergegas sambil menangis. Maka RasululLah berkata, ‘Beritahukan kepada perempuan itu bahawa ia tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua. Allah berfirman, ‘Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) itu secara langsung, lalu Kami jadikan mereka perawan-perawan; yang penuh cinta (dan) sebaya umurnya. (Surah al-Waqi’ah, ayat 35-37)” [HR al-Tirmiziy dan al-Thabrani]

Abu Hurayrah – radiyalLahu ‘anhu – meriwayatkan:

“Para sahabat berkata, ‘Wahai RasululLah, engkau bergurau dengan kami.’ RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – menjawab, ‘Aku tidak akan pernah mengatakan sesuatu yang tidak benar.’ [HR al-Tirmiziy, Bukhari dan Ahmad]

16. Cara RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – membaca al-Qur’an


Ya’la bin Mamlak meriwayatkan:

“Ia bertanya kepada Ummu Salamah tentang cara RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – membaca al-Qur’an. Menurut Ummu Salamah, RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – membaca al-Qur’an dengan sangat jelas, kalimah per kalimah.” [HR al-Tirmiziy, Abu Dawud dan al-Nasa’ie]

Qatadah meriwayatkan:

“Allah tidak mengutus seorang Nabi kecuali Nabi itu memiliki wajah yang tampan dan suara yang merdu. Nabi kamu memiliki wajah yang tampan dan suara yang merdu. Baginda tidak pernah menggemakan suara.” [HR al-Tirmiziy]

17. Ibadah RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – pada malam hari

Mughirah bin Syu’bah – radiyalLahu ‘anhu meriwayatkan:

“RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – melaksanakan solat sehingga kedua kaki baginda bengkak. Baginda ditanya, ‘Mengapa engkau memaksakan diri, padahal ALLAH SWT telah mengampuni semua dosamu yang telah berlalu dan yang akan datang?’ Baginda menjawab, ‘Tidak bolehkah aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?'” [HR al-Tirmiziy, al-Bukhariy, Muslim, al-Nasa’ie, Ibnu Majah, Ahmad, Ibnu Sa’ad dan Ibnu Khuzaimah]

18. Puasa RasululLahsallalLahu ‘alayhi wa sallam

Abu Hurayrah – radiyalLahu ‘anhu meriwayatkan bahawa RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

“Seluruh amal perbuatan akan diperlihatkan kepada ALLAH SWT pada hari Isnin dan Khamis. Maka aku menginginkan amal perbuatanku diperlihatkan ketika aku sedang berpuasa.” [HR al-Tirmiziy, Ahmad, al-Nasa’ie, Ibnu Majah dan al-Baihaqi]

AbdulLah bin Mas’ud – radiyalLahu ‘anhu – meriwayatkan:

“Nabi berpuasa pada hari-hari putih (13,14 dan 15 pada setiap bulan mengikut kalendar Islam) selama tiga hari, pada setiap bulan. Dan beliau sangat jarang meninggalkan puasa pada hari Jumaat (jika hari Jumaat itu termasuk pada hari putih pada bulan tersebut).” [HR al-Tirmiziy, Abu Dawud, al-Nasa’ie, Ibnu Majah dan Ahmad]

Alqamah – radiyalLahu ‘anhu – meriwayatkan:

“Aku bertanya kepada ‘A’ishah: ‘Apakah RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – mengistimewakan amalan-amalan tertentu?’ ‘A’ishah menjawab: ‘Amal perbuatan RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – selalu konsisten dan tidak pernah terputus. Siapakah di antara kamu yang sanggup menyamai kemampuan baginda?'” [HR al-Tirmiziy, al-Bukhariy, Muslim, Abu Dawud dan Ahmad]

19. Tangisan RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam


AbdulLah bin Syakhir – radiyalLahu ‘anhu – meriwayatkan:

“Saya menghampiri Nabi – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – ketika baginda solat. Di dada baginda, saya terdengar bunyi suara seperti bunyi bekas air yang sedang mendidih, disebabkan tangisan baginda.” [HR al-Tirmiziy, Abu Dawud, al-Nasa’ie dan Ahmad]

Ibnu ‘Abbas – radiyalLahu ‘anhu – meriwayatkan:

“RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – mengambil anak perempuan baginda yang hampir meninggal untuk diletakkan di pangkuan baginda. Akhirnya, anak perempuan itu meninggal di pangkuan baginda sehingga membuatkan Ummu Aiman menjerit. RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda: ‘Kenapa engkau menangis di hadapan RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam?’ Dia menjawab: ‘Bukankah engkau pernah menangis?’ Baginda bersabda: ‘Aku tidak bermaksud untuk menangis, tetapi ianya adalah satu bentuk kasih sayang. Sesungguhnya orang yang beriman selalu merasa baik (tenang) dalam setiap keadaan. Ketika ia melihat seseorang meninggal dunia, ia tetap memuji ALLAH SWT.” [HR al-Tirmiziy, al-Nasa’ie dan Ahmad]

‘A’ishah – radiyalLahu ‘anha – meriwayatkan:

“RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – mencium ‘Uthman bin Mazh’un yang telah meninggal, sementara kedua mata baginda berlinang air mata.” [HR al-Tirmiziy, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad]

20. Tempat tidur RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam

‘A’ishah – radiyalLahu ‘anha – meriwayatkan:

“Sesungguhnya tempat tidur RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – dibuat daripada kulit binatang yang disumbat (dipenuhi dengan) sabut.” [HR al-Tirmiziy, al-Bukhariy, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad]

21. Sifat Tawaddu’ RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam

Amrah meriwayatkan bahawa seseorang pernah bertanya kepada ‘A’ishah: ‘Apakah yang dilakukan oleh RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – di rumah?’  ‘A’ishah menjawab:

“RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – adalah manusia biasa, baginda merendam pakaian, memerah susu kambing dan melayani dirinya sendiri.” [HR al-Tirmiziy, al-Bukhariy dan Ahmad]

Anas bin Malik – radiyalLahu ‘anhu – meriwayatkan:

“RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – melawat orang sakit, menyaksikan (pemakaman) jenazah, mengenderai keldai dan memenuhi undangan seorang budak. Pada hari (penaklukan) Bani Quraizah, baginda mengenderai keldai yang dikendalikan dengan tali sabut yang di atasnya juga menggunakan pelana dari sabut.” [HR al-Tirmiziy, Ibnu Majah, al-Hakim, Abu Dawud dan al-Baihaqi]

22. RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – dan berbekam

Humayd meriwayatkan bahawa Anas bin Malik pernah ditanya tentang membekam sebagai sebuah profesyen. Anas berkata:

“RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – pernah berbekam kepada Abu Thaibah. Setelah itu, RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – menyuruh agar Abu Thaibah diberi ganjaran sebanyak dua sha’ makanan. Baginda juga berbicara kepada majikannya agar ia mengurangi jumlah harta yang harus dibayar oleh Abu Thaibah. RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – juga berkata: ‘Sesungguhnya cara perubatan yang paling baik bagi kamu adalah berbekam.” [HR al-Tirmiziy, al-Bukhariy, Muslim, Abu Dawud, Ahmad dan Ibnu Sa’ad]

Sha’ adalah ukuran timbangan. Menurut ulama’ Mazhab Hanafiyah, 1 sha’ bersamaan dengan 3.261,5 gram. Menurut ulama’ lain di luar mazhab Hanafiyah, satu sha’ bersamaan dengan 2.172 gram.

Anas bin Malik – radiyalLahu ‘anhu – meriwayatkan:

“RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – pernah berbekam di kedua bahu baginda. RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – berbekam dalam 17,19 atau 21 hari sekali.” [HR al-Tirmiziy dan al-Hakim]

23. Hidup RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam

Abu Thalhah meriwayatkan:

“Kami pernah mengadu kepada RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – tentang rasa lapar yang kami derita. Lalu kami memperlihatkan perut kami yang diikat dengan batu; masing-masing sebuah batu. Kemudian RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – memperlihatkan perut baginda yang ternyata, diikat dengan dua batu.” [HR al-Tirmiziy dan Abu Syaikh]

Anas – radiyalLahu ‘anhu – meriwayatkan bahawa RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

“Sesungguhnya aku pernah merasa takut kerana ALLAH sementara orang lain tidak merasa takut. Aku juga pernah disakiti kerana ALLAH sementara orang lain tidak disakiti. Aku dan Bilal pernah melalui 30 hari dan 30 malam tanpa makan yang layak bagi manusia, kecuali sejumlah kecil makanan yang boleh disembunyikan di bawah lengan Bilal.” [HR al-Tirmiziy]

24. Usia RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam

Ibnu ‘Abbas meriwayatkan:

“RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – tinggal di Makkah selama 13 tahun, setelah baginda menerima wahyu. Baginda tinggal di Madinah selama 10 tahun. Dan baginda wafat pada usia yang ke-63.” [HR al-Tirmiziy, al-Bukhariy, Muslim dan Ahmad]

Mu’awiyah meriwayatkan:

“RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – wafat pada usia yang ke-63. Begitu juga Abu Bakar dan ‘Umar bin al-Khattab- radiyalLahu ‘anhuma. Pada ketika ini, aku berusia 63 tahun.” [HR al-Tirmiziy, Muslim dan Ahmad]

Menurut Imam al-Nawawiy, Mu’awiyah berharap untuk meninggal pada usia ke-63 juga. Namun dikisahkan oleh al-Qusthullani bahawa Mu’awiyah tidak meninggal dunia ketika usia tersebut. Bahkan, usianya mencapai kira-kira 80 tahun ketika beliau meninggal dunia.

25. Warisan RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam

“RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – tidak meninggalkan apa-apa pun (selepas kewafatan baginda) sama ada satu dinar, satu dirham, hamba lelaki atau hamba perempuan, melainkan baghalnya yang berwarna putih, senjatanya (mengikut riwayat sebilah pedang) dan sebidang tanah yang dijadikan sedekah.”

Malik bin Aus bin al-Hadtsan meriwayatkan:

“Saya berkunjung ke rumah ‘Umar. Lau datanglah ‘Abdurrahman bin ‘Auf, Thalhah dan Sa’ad. Kemudian Aliy datang bersama ‘Abbas; keduanya berselisih pendapat. Maka ‘Umar berkata: ‘Aku meminta kamu bersaksi demi Dzat yang dengan izin-Nya langit dan bumi ini tercipta. Tahukah kamu bahawa RasululLah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – pernah bersabda: ‘Kami tidak pernah meninggalkan warisan, apa yang kami tinggalkan semuanya merupakan sedekah?’ Mereka menjawab: ‘Ya.'” [HR al-Tirmiziy, al-Bukhariy, Muslim, Abu Dawud, Ahmad dan al-Nasa’ie]

Begitulah kawan-kawan, 25 topik yang penting pada kita untuk mencontohi baginda. Saya hanya menulis sebahagian hadith yang terdapat di dalam buku tersebut. Selebihnya, cubalah anda cari buku tersebut atau meminjamnya daripada rakan-rakan. Buku ini sangat berfaedah kerana mempunyai hadith-hadith yang menggambarkan bagaimana sifat peribadi baginda dan susuk tubuh baginda.

Tanyakan pada diri anda lagi, siapakah role model yang anda sedang contohi, dan siapakah role model yang sepatutnya anda contohi? Jawapan di tangan anda.

Berselawatlah kepada Nabi sekiranya kamu cinta pada baginda

Categories: Uncategorized
  1. nur
    January 26, 2011 at 3:15 pm

    masyaALLAH! Jazakallah bg sape yg upload bnda ni

  2. January 27, 2011 at 1:42 pm

    Insya ALLAH, kita akan cuba mengikuti segala ciri-ciri yang ada pada Rasulullah SAW, baik dari segi fizikal, akhlak mahupun ibadat.
    Smoga usaha ini sdikit sbanyak mendapat keberkatan dari sisi-Nya insya ALLAH.

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: