Home > Uncategorized > Kepentingan Solat Berjemaah

Kepentingan Solat Berjemaah

Pada tarikh 15.02.11 yang lepas, saya sempat mengikuti Forum Perdana Sempena Maulidur Rasul yang dianjurkan oleh pihak Masjid Bukit Jelutong. Subhanallah, forum tersebut membawa banyak informasi-informasi dan ilmu-ilmu yang baru.

Kehadiran ahli kariah Bukit Jelutong sangat menggalakkan, sehinggakan ada yang berkata ianya mencecah 500 orang. Seperti solat Jumaat, ramai seperti semut sedang menghurung gula. Ada muka-muka baru, dan ada juga muka-muka yang lama, yang biasa solat di masjid tersebut.

Akan tetapi, suasana seperti itu hanyalah pada waktu tersebut, ketika itu sahaja. Maklumlah, forum tersebut bermula pada pukul 10.30 dan berakhir pada pukul 12.30 tengahari. Kemudian para hadirin dihindangkan dengan makanan yang serba enak dan lazat.

Yang menyedihkan adalah ketika solat Zohor. Para jemaah yang datang sebentar tadi ke Forum tersebut kian dilihat menheret kaki-kaki mereka untuk pulang ke rumah, sedangkan azan Zohor baru sahaja berkumandang. Ini menyebabkan bilangan jemaah yang solat Zohor berjemaah di masjid berkurangan berbanding ketika menghadiri forum tadi.

Fenomena ini menjadi lebih menyedihkan dan lebih parah ketika solat Asar. Ketika bilangan jemaah yang datang untuk mendengar forum mencecah 500 orang, bilangan jemaah yang solat Asar di masjid yang sama, hanyalah setakat 2 saf. Itu pun tidak penuh.

Mana pergi baki penduduk dan jemaah yang telah hadir ke ceramah sebentar tadi? Mengapakah bilangan orang yang solat berjemaah yang dijanjikan pahala oleh Allah menjadi sangat sedikit berbanding ketika forum tadi?

Benarlah, solat jemaah kian dipandang remeh, enteng dan sebelah mata oleh masyarakat Islam. Sepertinya solat jemaah ini fardu kifayah, iaitu cukuplah dengan ada sebahagian jemaah yang melaksanakannya.

Tetapi sebenarnya tidak! Solat jemaah merupakan asas kekuatan seseorang Muslim dalam membina jiwa dan peribadi yang unggul, dengan menerapkan nilai-nilai ukhwah dalam diri mereka.

Sekiranya bilangan orang yang solat jumaat melimpah ruah hingga ke luar masjid, mengapakah solat-solat fardu yang lain tidak dititikberatkan sama seperti solat jumaat?

Kerana itulah salah seorang Paderi Kristian telah menyebut:

“Aku tidak hirau akan kehebatan orang-orang Islam sehinggalah bilangan mereka yang bersolat jemaah pada waktu Subuh menyamai bilangan orang yang solat Jumaat.”

Maka bangunlah wahai saudara-saudaraku! Ayuh kita bersolat jemaah pada setiap waktu, dan sebaik-baiknya adalah di masjid. Masjid bukanlah dibina untuk dijadikan kebanggaan semata-mata, atau ikon pada sesebuah negara, tetapi ia adalah markas untuk melatih personaliti diri setiap insan yang mahu ke arah kebaikan.

Saya pasti semua orang pernah mendengar hadith Nabi SAW yang berbunyi:

“Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku telah bercita-cita untuk memerintahkan manusia untuk mengumpulkan kayu bakar. Kemudian aku memerintahakn seseorang untuk azan dan seseorang untuk mengimamkan solat, lalu aku mencari kaum lelaki yang tidak ikut solat berjemaah, dan aku bakar rumah mereka!” [Muttafaqun 'alayh]

Lihatlah betapa pentingnya solat berjemaah bagi kaum lelaki. Nabi ingin membakar rumah mereka yang tidak ikut serta untuk solat berjemaah. Mengikut tafsiran hadith ini, para ulama’ menyebut: Nabi tidak membakar rumah-rumah mereka kerana di dalam rumah tersebut ada kaum wanita dan kanak-kanak yang tidak diwajibkan solat berjemaah di masjid.

Mari kita lihat beberapa kelebihan yang disediakan bagi orang yang solat berjemaah. Saya tidak sertakan hadith-hadith di bawah, tetapi saya sebutkan maksud hadith tersebut.

  1. Sentiasa dicintai oleh Allah, kerana masjid adalah tempat yang paling disukai oleh Allah. [HR Muslim]
  2. Melebihi 27 kali ganda pahala daripada solat berseorangan. [HR Muslim]
  3. Walaupun tidak solat berjemaah apabila bermusafir atau sakit, tetap mendapat ganjaran pahala 27 kali ganda. [HR al-Bukhariy]
  4. Ganjaran pahala akan berganda dengan bertambahnya bilangan jemaah yang solat bersamanya. [HR Abu Dawud]
  5. Solat empat puluh hari secara berjemaah serta sempat Takbiratul Ihram – selamat daripada api neraka dan sifat Munafiq. [HR al-Tirmiziy]
  6. Sentiasa dapat melakukan amalan yang terbaik. Ini kerana solat pada awal waktu adalah amalan yang paling baik. [HR al-Tirmiziy dan al-Hakim]
  7. Solat Isya’ dan Subuh berjemaah, ganjaran pahalanya sama seperti solat separuh malam atau sepenuh malam. [HR Muslim]
  8. Ganjaran pahala melakukan haji dan umrah yang sempurna – bagi yang solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah sehingga terbit matahari, kemudian solat Dhuha dua rakaat. [HR al-Tirmiziy]
  9. Malaikat di waktu malam dan malaikat di waktu siang berkumpul ketika solat Subuh dan Asar. [Muttafaqun 'alayh]
  10. Dijamin tidak akan masuk neraka Jahannam bagi sesiapa yang solat Asar dan Subuh secara berjemaah. [HR Muslim]
  11. Dijamin masuk syurga bagi sesiapa yang solat Subuh dan Asar.[Muttafaqun 'alayh]
  12. Allah ‘Azza wa Jalla merasa kagum kepada solat yang dilakukan secara berjemaah. [HR Ahmad]
  13. Orang yang menunggu solat jemaah sentiasa berada dalam solat selama mana dia berada pada tempatnya. [Muttafaqun 'alayh]
  14. Para malaikat sentiasa berdoa untuk orang yang solat berjemaah sama ada sebelum solat atau selepas solat selama mana ia berada di tempat solatnya dan tidak berhadas atau menyakiti orang lain. [Muttafaqun 'alayh]
  15. Kelebihan terlalu besar berada di saf pertama dan saf sebelah kanan. [Muttafaqun 'alayh]
    Antara kelebihan berada di saf pertama atau saf sebelah kanan ialah:
    1. Sama seperti saf para malaikat. [HR Abu Dawud]
    2. Saf pertama adalah sebaik-baik saf. [HR Muslim]
    3. Allah dan para malaikat berselawat lebih banyak kepada mereka yang berada di saf pertama. [HR al-Nasa'ie]
    4. Nabi SAW berselawat sebanyak 3 kali ke atas saf pertama, dan sekali ke atas saf kedua. [HR al-Nasa'ie]
    5. Allah akan menyambungkan sesiapa yang menyambungkan saf serta doa Allah dan para malaikat ke atasnya. [HR al-Nasa'ie]
  16. Kelebihan menjawab azan iaitu di jamin mendapat syafaat Nabi SAW pada hari kiamat kelak. [HR al-Bukhariy]
  17. Kelebihan doa antara azan dan iqamah yang tidak akan ditolak. [HR Ahmad, al-Nasa'ie dan Abu Dawud]
  18. Mendapat keampunan Allah dan cinta-Nya bagi sesiapa yang mengucapkan aamin sejajar dengan ucapan aamin imam (ketika membaca al-Fatihah). [Muttafaqun 'alayh]
  19. Orang yang selalu hatinya terikat dengan masjid akan mendapat bernaung di bawah bayangan Allah pada hari kiamat kelak. [Muttafaqun 'alayh]
  20. Setiap langkah ke masjid akan diangkat satu darjat, dihapuskan satu kesalahan dan ditulis baginya satu kebaikan. [HR Muslim]
  21. Ditulis kebaikan bagi setiap langkah pulang ke rumah sebagaimana ia pergi ke masjid. [HR Muslim]
  22. Sesiapa yang menyempurnakan wuduknya kemudian berjalan ke masjid untuk soalt berjemaah, dosa-dosanya akan diampunkan. [HR Muslim]
  23. Allah menyediakan tempat tetamu khas di syurga bagi orang yang selalu berulang-alik ke masjid. [Muttafaqun 'alayh]
  24. Mendapat ganjaran pahala berjemaah walaupun dia terlewat dan tidak sempat solat berjemaah. [HR Abu Dawud]
  25. Sentiasa berada di dalam solat sehinggalah dia pulang sekiranya dia berwuduk di rumahnya, kemudian keluar untuk solat berjemaah di masjid. [HR Ibnu Khuzaimah dan al-Hakim]
  26. Ganjaran orang yang keluar untuk solat berjemaah dalam keadaan berwuduk sama seperti orang yang melakukan haji. [HR Abu Dawud]
  27. Para malaikat berebut-rebut untuk menulis ganjaran pahala bagi orang yang berjalan ke masjid dan ia bersih daripada dosa-dosa seperti bayi yang baru dilahirkan. [HR al-Tirmiziy]
  28. Mendapat cahaya yang penuh pada hari kiamat bagi sesiapa yang berjalan dalam kegelapan ke masjid. [HR Abu Dawud dan al-Tirmiziy]
  29. Dapat melakukan solat sunat rawatib qabliyyah (sebelum) dan ba’diyyah (selepas) yang besar ganjaran pahalanya.
    1. Dua rakaat solat sunat Subuh adalah lebih baik daripada dunia dan segala isinya. [HR Muslim]
    2. Dua belas rakaat (sunat) setiap hari dan malam [4 sblm Zohor, 2 selepas Zohor, 2 selepas Maghrib, 2 selepas Isya' dan 2 sebelum Subuh], dibina untuknya sebuah istana di syurga. [HR Muslim]
    3. Empat rakaat sebelum solat Zohor dan empat rakaat selepasnya, Allah mengharamkannya daripada api neraka. [HR Abu Dawud, al-Nasa'ie, al-Tirmiziy dan Ibnu Majah]
  30. Dapat mendidik anak-anak dengan cara solat yang betul sebagaimana yang diperintah oleh Rasulullah SAW: “Solatlah kamu sebagaimana kamu lihat aku solat.”

Tuntasnya, Islam menyeru dan menggalakkan seluruh kaum lelaki Muslimin untuk solat berjemaah pada setiap waktu di masjid, tidak terkecuali kepada sesiapa sahaja. Ini kerana manusia yang paling mulia iaitu Rasulullah SAW, mengikut sirah – baginda tidak pernah tinggal solat berjemaah sepanjang hidup baginda, dan baginda tidak pernah jadi ma’mum, sentiasa jadi imam. Ini bermakna Nabi SAW sentiasa peka dengan solat berjemaah di masjid, kerana tidak mahu terlepas ganjaran solat berjemaah tersebut.

Sekiranya anda betul2 inginkan kebaikan yang berlipat ganda, datanglah solat berjemaah di masjid. Sekiranya ada keperluan dan ada perkara yang menhalangi anda untuk solat di masjid, solatlah berjemaah di rumah, bersama dengan keluarga. Binalah ukhwah (persaudaraan) dan kasih sayang melalui solat jemaah. Si anak boleh menjadi imam kepada ibubapanya setelah meningkat dewasa.

Sepatutnya tidak ada alasan yang menyebabkan anda tidak boleh bertandang ke masjid. Para sahabat dahulu berjalan dalam kegelapan dan perlu melalui jalan yang sukar dan jauh semata-mata untuk solat berjemaah di masjid bersama Nabi. Itulah usaha mereka. Pada zaman itu tiada kereta, hanyalah binatang tunggangan atau terpaksa berjalan kaki untuk mencapai ke suatu destinasi.

Kita pada zaman moden ini mempunyai kenderaan, jadilah menfaatkanlah ia untuk kebaikan, dengan menghadiri solat berjemaah di masjid. Insya ALLAH, Allah akan sentiasa membantu dan memudahkan urusan anda. Segala urusan yang ingin dilaksanakan terasa mudah setelah solat berjemaah bersama-sama di masjid.

Yang paling penting bagi seorang Muslim ialah menyampaikan dan mengajak saudaranya ke arah kebaikan. Justeru, saya memohon dengan segala kerendahan hati, agar anda dapat mengajak ayah dan adik-beradik untuk solat berjemaah di masjid. Pujuk mereka, dan beritahu mereka tentang seribu satu kelebihan yang ada pada solat jemaah.

Mereka merupakan orang yang paling kita sayang, paling kita cintai. Jadi, sekiranya kita sayang mereka dengan kasih sayang yang tulus ikhlas kerana Allah, pastinya kita mahu mereka condong ke arah kebaikan yang diredhai Allah. Ajak dan pujuklah ayah-ayah dan adik-beradik anda untuk merebut pahala yang berlipat ganda ini. Tunjukkan hadith-hadith dan berikan mereka kata-kata semangat.

Pada masa yang sama, anda sendiri mestilah melazimi solat berjemaah di masjid. Paling tidak pun, ajaklah mereka untuk solat berjemaah di rumah anda sendiri, supaya datangnya keberkatan daripada Ilahi. Sudah tentu keluarga kita mempunyai kenderaan yang mereka gunakan setiap hari. Jadi apa salahnya kalau kenderaan yang sama digunakan untuk memacu ke masjid yang berdekatan.

Akhir sekali, ambil hadith ini sebagai pembakar semangat. Dariapada Abu Hurayrah RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya solat yang paling berat ke atas orang Munafiq adalah solat Subuh dan Isya’, dan jikalau mereka mengetahui (kebaikan dan kelebihan solat berjemaah) pada kedua-duanya, sudah pasti mereka akan mendatangi kedua-duanya walaupun dalam keadaan merangkak.” [Muttafaqun 'alayh]

Umar bin al-Khattab juga pernah menyebut:

“Barangsiapa yang mahukan ganjaran pahala, balasan baik dan pasar akhirat, maka datanglah ke masjid. Dan barangsiapa yang hendak berjual beli atau percakapan (kosong), maka datanglah ke pasar-pasar dunia.”

Manakah yang akan anda pilih?

About these ads
Categories: Uncategorized
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: