Archive

Archive for February 1, 2011

Adakah anda bersyukur?

February 1, 2011 Leave a comment

Nur Izzah Sakinah – seorang gadis melayu yang datang daripada sebuah keluarga yang sederhana. Ayahnya bekerja sebagai seorang guru di sebuah sekolah menengah di Bandar Hilir, Melaka, sementara ibunya pula seorang suri rumah sepenuh masa. Nur Izzah Sakinah gemar orang memanggil nama panggilannya sahaja – Nur.

Nur seorang anak tunggal, yang membesar di bawah asuhan ibu bapanya. Segala keperluannya dicukupi, segala kemahuannya diikuti dan segala keinginannya dituruti oleh ibu dan bapanya. Kerana itulah jiran-jiran dan kawan-kawan terdekat Nur suka memanggil dia sebagai ‘anak manja’.

Nur seorang yang mempunyai rupa paras yang mampu menawan dan memikat hati mana-mana sahaja lelaki yang melihatnya. Dengan hidung yang mancung, kulit yang putih gebu bak bantal yang empuk, keningnya yang hitam pekat seperti kicap manis dan bertudung ayu, Nur kerap menarik perhatian mana-mana sahaja lelaki yang mengerling kepadanya.

Sejak kecil lagi, Nur dibesarkan dalam suasana Islamik. Nur bersekolah di sekolah agama yang cukup baik, dan akhlaknya menunjukkan bahawa Nur seorang yang solehah.

Namun, disebabkan Nur merupakan seorang anak tunggal, ada suatu sifat/akhlak yang kuat menjiwai diri si gadis ini. Dari kecil lagi, Nur merupakan seorang yang ‘perfectionist’, iaitu mahukan semua perkara untuk menjadi sempurna. Segalanya mesti perfect.

Bantal di katilnya tidak boleh bersepah, mesti disusun dalam keadaan yang teratur setiap detik dan waktu. Baju di almarinya, semuanya mesti telah siap digosok dan disusun teratur dalam setiap rak yang disediakan. Alat-alat soleknya juga mestilah disusun di sebuah meja yang dibeli khas daripada UK untuk diletakkan perkakas-perkakas tersebut. Baju yang dia ingin pakaikan untuk ke tempat kerja, mestilah tiada sebarang kedutan yang dapat dilihat oleh sesiapa. Bahkan tudungnya, mestilah dalam keadaan ‘straight’ dan rapi dalam setiap keadaan.

Sifat yang ada pada diri Nur ini bukan sahaja dijelmakan dalam setiap benda yang dia miliki, bahkan dia juga merupakan seorang yang cerewet dalam memilih jodohnya. Pasangan hidup yang dia ingin kongsikan hidup bersamanya juga mestilah seorang yang mempunyai sifat sepertinya, iaitu perfectionist.

Suatu ketika dahulu, ibu bapanya pernah menyuarakan dan memberikan pendapat mengenai seorang lelaki yang merupakan anak pada kawan ayahnya. Ketika itu Nur berumur 25 tahun dan merupakan graduan lepasan ijazah di sebuah universiti di Ireland. Tetapi pendapat ayahnya itu ditolak bulat-bulat oleh Nur, dan menyatakan bahawa dia belum bersedia untuk berkahwin. Dia juga tidak suka sekiranya lelaki itu tidak mempunyai sifat sepertinya.

Setelah beberapa tahun, Nur menjawat jawatan sebagai seorang doktor yang bertugas di hospital tempatan, berdekatan dengan kampungnya. Nur terpikat pada seorang lelaki yang juga merupakan seorang doktor di hospital yang sama. Lelaki tersebut memiliki wajah yang tampan seperti seorang artis, gemar mengenakan haruman pada badannya dan sentiasa kelihatan segak setiap masa. Nur merasakan bahawa dialah lelaki yang dicari-cari selama ini. Hatinya terdetik, bahawa sudah sampai masanya untuk dia memberitahukan kepada ibu bapanya mengenai lelaki ini.

Nur tidak bermadu kasih dengan lelaki tersebut, sebaliknya lelaki tersebut yang dikenali sebagai Alif terus menyuarakan isi hatinya yang lahir daripada hati yang suci itu kepada ibu bapa Nur.

Kini, Nur telah sah menjadi isteri kepada lelaki yang bernama Alif, dengan mas kahwin bernilai RM80 dengan sekali lafaz. Bertepatanlah dengan hadith Nabi SAW yang menyuruh supaya memberi mas kahwin yang sederhana, tidak berlebih-lebihan. Bersesuaian dengan kerja sepasang mempelai tersebut sebagai doktor, Alif telah membeli sebuah rumah teres 2 tingkat yang terletak di Taman Sri Ukay, KL. Di situlah dua jiwa yang saling mencintai tersebut membina sebuah kehidupan alam rumah tangga.

Pada tahun pertama perkahwinan, Nur kini telah diberikan khabar gembira oleh doktor lain yang juga merupakan kawannya di hospital yang sama – bahawa dia kini telah mengandung anak lelaki yang beru berusia 3 bulan. Ibu mana yang tidak gembira untuk dikurniakan seorang anak yang insya ALLAH dapat menjadi qurratu ‘ainin (penyejuk mata) pada mereka kelak. Suami tercinta yang sentiasa bersama di sisi juga kerap melafazkan janji untuk sama-sama menjaga anak tersebut sehinggalah dia selamat melahirkannya.

Sejak mendengar berita gembira tersebut, dialah orang yang paling bahagia di dunia ini. Sejak dari saat itu juga, dia menjaga pemakanannya, pemakaiannya, jadual kerjanya, dan semua perkara yang berkaitan dengan hidupnya, demi untuk menjaga bayi pertama yang sedang dikandungnya sehinggalah ia selamat dilahirkan.

Makanan mestilah tidak pedas setiap masa, tidak terlalu masam dan tidak terlalu masin, kerana dikhuatiri anaknya akan terjejas disebabkan pemakanan yang kurang berkhasiat. Nur kerap mengambil oat, madu dan minyak zaiton setiap pagi dan petang untuk menjaga badannya, dan menghindari daripada minum air sejuk selalu, makan makanan yang tajam seperti nenas dan semua makanan yang dapat menjejaskan anaknya.

Pakaiannya pula mestilah tidak terlalu ketat kerana takut melemaskan anak di dalam perutnya. Setiap baju atau blause yang dikenakan pada badannya mstilah labuh.

Nur juga kini sentiasa terperap di dalam rumah, mengambil langkah berjaga-jaga supaya dapat mengelakkan daripada berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini. Perutnya sentiasa dibelai olehnya dan suaminya, membisikkan kata-kata rindu dan mengatakan, ‘Papa dan mama sayang pada adik.’

Nur juga memastikan dia akan pergi ‘medical check-up’ di hospital setiap minggu, untuk melihat perkembangan anaknya dari masa ke semasa. Begitulah sifat ‘perfectionist’ yang ada pada diri wanita bernama Nur ini, begitu merajai di hati seperti seorang pemerintah yang mengarahkan rakyatnya.

Tepat pada jam 2.32 petang, tarikh 03.02.03, seorang bayi yang  cukup comel selamat dilahirkan oleh Nur secara normal, bertemankan suami tercinta yang sentiasa bersama di sisi, meniupkan kata-kata semangat supaya Nur dapat menjalani pahit getir melahirkan anak. Tepatlah dengan kata-kata hikmah yang berbunyi,

‘Engkau tidak akan mampu membalas jasa ibumu yang begitu susah payah bertarung nyawa untuk melahirkan kamu. Andai kata ibumu mempunyai pilihan untuk memberikan nyawa kepada kamu atau memberikan nyawa pada dirinya sendiri, sudah tentu dia akan memberikan nyawa tersebut kepada kamu untuk melihat dunia.’

Minggu pertama berlalu dengan bahagia sekali, seperti Nur sedang berada di sebuah taman yang dipenuhi dengan rona-rona warna yang menarik, dikelilingi dengan kupu-kupu yang berwarna cantik, melihat anaknya sedang senyum gembira bermain gelongsor di tepi sungai daripada madu. Ini disebabkan kehadiran anak pertamanya, Haikal Adli. Nur tidak lekang daripada anaknya, tidak membiarkan Haikal Adli seorang diri walaupun sesaat, kerana takut anaknya akan hilang disambar orang.

Makanan anaknya diberikan mengikut jadual, tidak boleh lambat walau seminit. Nur akan membiasakan dirinya untuk menyusu Adli setiap jam, membelainya dengan penuh kasih sayang. Makanan untuk diberikan pada anaknya merupakan makanan yang berkualiti, dan Nur tidak kisah untuk mengeluarkan duit yang lebih untuk membelikan makanan tersebut.

Suami Nur juga tidak kurang juga memberikan sepenuh perhatian kepada Adli. Setiap detik yang berlalu ketika dia bekerja di hospital terasa begitu lambat berlalu, membuatkan rasa rindunya kian berbuak-buak dari hari ke sehari. Sesampainya Alif di rumah, dia akan memangku anaknya dan membawanya bersiar-siar ke taman berdekatan rumahnya.

Begitulah kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu bapa Adli kepadanya, seperti hujan lebat yang menimpa bumi sehingga mengakibatkan banjir. Sifat ‘perfectionist’ Alif dan Nur juga kerap menguasai diri mereka, setiap perkara yang mereka lakukan terhadap anak mereka Adli mestilah dilakukan dengan perfect.

Adli kini berumur 8 tahun. Meskipun ibu bapa mereka bersifat dengan sifat ‘perfectionist’, Adli 100% berbeza dengan sifat mereka!

Sejak berumur 3 tahun lagi, Adli gemar merosakkan sofa ibu bapa mereka dengan menterbalikkannya dan melempar bantal sofa tersebut ke lantai seperti melempar batu ke dalam sungai. Bantal itu kemudiannya ditumbuk-tumbuk sehingga hancur cadar yang membungkus bantal yang monggel tersebut.

Bukan itu sahaja, ketika berumur 4 tahun, Adli gemar mengambil surat khabar yang diletakkan oleh bapanya di atas meja, kemudian mencerai-ceraikan helaian-helaian surat khabar tersebut. Setelah itu dia menimbunkan helaian surat khabar yang telah diceraikan tersebut sehingga menjadi seperti sebuah bukit. Begitulah yang akan dia lakukan pada setiap hari. Setiap surat khabar yang dibeli oleh bapanya Alif akan diperlakukan sesuka hatinya, seperti barang itu milknya sendiri.

Sekarang, sifat ‘hyperactive’ Adli yang bertentangan dengan sifat ‘perfectionist’ ibubapanya memuncak apabila dia berumur 8 tahun. Metabolism dalaman badannya tidak boleh lagi mengawal diri Adli. Ibu bapanya telah mencuba berbagai-bagai kaedah untuk mendisiplinkan anak mereka. Nur dan Alif selalu menegur anaknya setiap kali dia melakukan kesalahan, memarahinya secara lembut dan mengenakan hukuman yang adil padanya. Pernah juga mereka bertemu dengan pakar kaunseling untuk bertanyakan tentang anak mereka, Adil.

Pada tarikh 03.02.11, iaitu pada hari kelahiran Adli, Nur mengadakan sebuah majlis makan malam di rumahnya. Tujuannya bukanlah untuk menyambut hari kelahiran anak mereka, tapi sekadar untuk mengajak jiran-jiran dan rakan-rakan Nur dan Alif untuk makan malam bersama di rumah.

Nur sudahpun mengemas bahagian ruang tamu dengan cantik sekali dan meja makan pun telah dipenuhkan dengan pelbagai hidangan yang lazat. Pada masa yang sama, Alif sedang berada di tingkat atas, bersiap-siap untuk menyambut kehadiran tetamu. Mereka telah pun bersolat Isya’ secara jemaah.

Pada waktu ini, Adli sedang berada berseorangan di ruang tamu, sedangkan ibunya sedang membuatkan air untuk para tetamu di dapur. Adli berasa kebosanan seperti dunia ini tiada benda yang dapat menghiburkannya langsung. Dia menujukan pandangannya pada sofa, meja makan dan setiap ruang di rumahnya. Segalanya telah dikemaskan dengan teratur sekali.

Jiwanya gundah gulana, tangannya berasa gatal untuk mencapai sesuatu agar dia dapat bermain dengannya. Serta-merta dia melihat pada meja di ruang tamunya. Surat khabar! Sepantas kilat dia mengambilnya dan mencerai-ceraikannya. Kemudian menimbunnya seperti sebuah bukit, dan kemudian seperti sebuah gunung yang sangat tinggi.

Ianya tidak terhenti setakat di situ. Adli kemudian memegang langsir biru tua yang baru sahaja dipasang oleh ibu pagi tadi dan menyentapnya dengan sangat kuat sehingga membuatkannya jatuh dan menghasilkan bunyi. Sofa yang berwarna kuning di depan televisyen itu juga diterbalikkannya dan bantal sofa tersebut dibalingnya ke luar rumah.

Jantung Nur berasa terhenti tatkala dia menapak ke ruang tamu, melihat keadaan sekitar ruang tamunya seperti baru sahaja dilanda ribut taufan yang sangat dahsyat. Keringat jernih perlahan-lahan membasahi muka Nur. Jiwanya menderam seperti seekor harimau kumbang yang mahu menerkam mangsanya. Muka Nur serta-merta berubah menjadi merah, menahan perasaan marahnya yang kian membuak-buak.

Tapi kali ini, kesabaran Nur sudah sampai ke tahap yang paling maksimum. Dia paling tidak menyukai untuk melihat sesuatu yang berserabut. Lebih-lebih lagi sebentar lagi dia akan dikunjungi oleh tetamu. Sampai saat ini, dia telah banyak bersabar dengan gelagat nakal Adli yang merosakkan hampir 70% daripada rumahnya. Walaupun Adli anak aku, kali ini dia mesti dihukum! Nur bergumam di dalam hatinya.

Sejurus itu Nur membuka langkah seribu dan mengejar Adli yang ditimpa rasa bersalah. Ibunya terus mengejar Adli sehingga ke luar rumah melalui pintu utama. Adli kemudian melompat pagar yang sederhana tinggi di luar rumahnya selepas berasa ketakutan melihat muka ibunya. Nur tidak tertahan lagi, dia mahu hukum anaknya selepas melakukan perkara yang paling tidak disukai.

Adli yang hendak mengimbangi dirinya selepas melompat pagar tadi hampir-hampir tersungkur ke tanah. Mujurlah kakinya sempat mencengkam kuat rumput hijau di tanah. Ketika itu dia tidak memakai selipar atau kasut, sekadar berkaki ayam kerana tidak sempat untuk menyarungnya.

Adli kemudian berlari ke jalan raya. Sejenak dia terpaku di situ, menoleh ke belakang untuk melihat ibunya. Nur berteriak memanggil namanya dari dalam rumah. Dia tidak dapat melompat keluar kerana sedang memakai baju kurung dan belum sempat memakai tudung, takut kalau dilihat oleh jiran. Nur melihat Adli berdiri tegak, terpaku di tengah-tengah jalan raya dalam keadaan tercungap-cungap seperti baru sahaja melarikan diri daripada seekor singa jantan yang buas. Mukanya pucat.

Tiba-tiba, seorang lelaki yang sedang memandu kereta Mitsubishi Storm, yang datang dari arah bertentangan tidak sempat menekan brek lalu merempuh tubuh mungil Adli yang tidak bergerak di jalan raya tersebut. Bunyi dentuman antara kereta besar dan badan kecil Adli begitu kuat sehingga dapat didengari oleh jirannya yang berada 500 meter daripada tempat kejadian. Tubuh Adli terpelanting jauh sehingga ke taman bersebelahan rumahnya dan darah membasahi rumput di taman tersebut.

Segalanya berlaku begitu pantas.. Nur yang pada asalnya membuatkan mimik muka marah menjadi kendur. Sekali lagi jantungnya bagaikan terhenti dek peristiwa yang baru sahaja berlaku di depan matanya. Walaupun jalan raya itu malap disebabkan kekurangan cahaya lampu, tetapi Nur dapat menyaksikannya dengan jelas sekali.

Manik-manik peluh bak mutiara berjuraian daripada dahinya, membuatkannya berkerut seribu. Langkahnya digagahkan untuk masuk ke dalam rumah, mencapai tudung hitam di kerusi, membuka pintu pagar automatiknya dan berlari menuju ke tempat Adli terjatuh setelah dilanggar tadi.

Dia tergamam, tidak mampu berkata-kata walau sepatah pun. Perlahan-lahan dia mendekati tubuh Adli yang dipenuhi darah sekitar muka dan badannya. Nur dapat melihat tengkorak Adli yang retak disebabkan pelanggaran yang kuat tersebut. Giginya patah, mulutnya penuh dengan darah yang berwarna merah pekat. Baju Adli yang asalnya berwarna putih susu bertukar menjadi merah sepenuhnya. Kaki kanannya patah.

Serta merta, mata Nur bergenang dan kemudian air matanya bercucuran seperti air terjun di Sekayu. Jatuh di atas pipi gebu anaknya yang dipenuhi darah tersebut. Nur merasakan seperti seluruh dunia ini gelap seolah-olah berada di sebuah bilik yang gelap.

Pemandu yang telah melanggar anaknya tadi lekas berlari dan menuju ke tempat mereka berdua dalam keadaan terpinga-pinga. Pada masa yang sama, ayahnya pantas membuka langkah seribu untuk melihat apa yang terjadi. Jiran-jiran yang mendengar bunyi dentuman tersebut juga telah berkerumun sekitar kawasan taman tersebut. Keadaan menjadi riuh-rendah seperti berada di sebuah pasar.

Nur tidak dapat menahan perasaannya kini. Dia menangis teresak-esak sambil memeluk dan mencium Adli walaupun berbau hanyir disebabkan darah tersebut. Tetapi, apakan daya, takdir Allah telah menentukan segala-galanya. Perlahan-lahan, Alif menenangkan keadaan isterinya dan kemudiannya memangku anaknya yang berlumuran darah tersebut ke keretanya. Pemandu yang melanggar tadi dan orang di sekeliling masing-masing membantu Alif. Sebahagian mereka memimpin Nur yang hampir pitam tersebut masuk ke dalam kereta. Semua jiran-jiran menaiki kereta masing-masing untuk ke hospital bersama Alif dan Nur.

Di dalam kereta, mulut Nur berkumat-kamit melafazkan rasa penyesalannya terhadap perkara yang baru sahaja berlaku. Dia tidak menyangka perasaan marahnya yang berbuak-buak tadi membuatkan dia kehilangan seorang permata yang telah dia jaga selama ini, membesarkan dan memberikan curahan kasih sayang yang sepenuhnya kepada Adli.

Katil pesakit kecemasan dihamparkan di sebelah kereta Alif dengan segera setibanya mereka di hospital. Hospital inilah yang menjadi tempat kerja Alif dan Nur dan tempat mereka bertemu. Beberapa orang jururawat bergegas memangku Adli yang berlumuran darah dan meletakkannya di atas katil dengan berhati-hati. Nur tidak jadi hendak meneruskan langkahnya mengikuti Adli ke wad kecemasan. Namun apabila dipujuk suaminya, Nur bergegas mengikuti Adli sementara suaminya mencari tempat memarkir kereta.

………………………………………………………………………….

“Maaf En. Alif dan Pn. Nur. Kami telah sedaya upaya menyelamatkan nyawa Adli yang sedang nyawa-nyawa ikan tadi. Namun, maafkan saya. Manusia hanya merancang, Tuhan yang menentukannya. Mungkin.. Allah lebih menyayangi Adli tanpa kita sedari. Adli telah selamat menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika di dalam wad tadi. Saya, para jururawat, tidak mampun untuk menandingi kuasa Allah yang jauh lebih besar.” Muqaddimah yang panjang lebar diutarakan oleh Dr. Ihsan.

Mereka berdua tersentak menerima berita yang tidak pernah dijangka akan berlaku pada anak tunggal mereka. Mereka kaku, tidak berdaya untuk melafazkan atau bertindak sesuatu.

Dr. Ihsan kemudian menyambung perbicaraannya.

“Jangan risau En. Alif dan Pn. Nur. Inilah takdir yang ditentukan Allah. Allah pasti mempunyai hikmah yang tersendiri mengapa dia mengambil nyawa anak encik dan puan daripada orang tua nya sendiri. Percayalah dengan janji Allah dan Rasul-Nya. Anak yang mati sewaktu kecil akan menunggu ibu bapa mereka di pintu syurga. Mereka akan menjadi pelayan-pelayan pada ibu bapa mereka di taman-taman syurga yang dijanjikan nikmat oleh Allah. Berserah pada Allah. Jangan putus asa daripada rahmat Allah, kerana rahmat Allah itu amat luas kepada hamba-hamba-Nya yang beriman.”

Mereka berdua terpaksa akur walaupun berat untuk menerimanya. Benarlah kata-kata doktor itu, dan benarlah janji Allah dan Rasul-Nya. Nur kini berasa tenang sedikit di dalam pelukan suami tercintanya setelah memikirkan kembali hikmah yang tersembunyi di sebalik peristiwa tadi. Nur berasa tenteram dalam tangisan syahdunya yang semakin lama semakim lemah berbunyi. Merpati dua sejoli itu kemudian duduk di bangku yang disediakan di ruang menunggu, berpelukan dan saling memberikan semangat antara satu sama lain supaya tabah menerima dugaan dan cabaran yang telah ditakdirkan Allah.

Adli telah meninggalkan alam dunia. Itu yang pasti. Pada waktu ini, Alif dan Nur kini berasa sunyi di rumah. Tiada lagi bunyi bising suara anaknya meminta susu. Tiada lagi sofa yang terbalik, bantal yang dikoyakkan cadarnya dan tiada lagi bunyi pinggan pecah di dapur. Segalanya hanya tinggal kenangan silam.

Nur selalu menatap gambar anaknya, walaupun dia sentiasa redha dengan ketentuan Ilahi. Dia menatap senyuman girang anaknya di dalam gambar yang diambil sewaktu mereka bercuti di Cameron Highlands dahulu. Semuanya berasa begitu indah, namun itulah hanyalah nostalgia yang telah berlalu, sekali-kali tidak mungkin akan kembali.

Alif selalu menemani Nur tatkala isterinya menangis berseorangan pada waktu malam, ketika bermunajat pada Tuhan Yang Maha Agung agar mengampuni dosanya. Nur teringatkan betapa dia tidak menghargai nikmat yang paling besar di depan matanya, namun dia selalu ‘tidak nampak’. Anaknya merupakan satu-satunya anugerah Allah pada mereka berdua, yang mampu membuatkan hari-harinya terasa begitu bahagia. Alif juga terasa perasaan yang sama. Mereka selalu berkongsi kisah-kisah lama untuk dijadikan pengajaran.

Saat yang paling menyentuh hati adalah pada waktu malam. Setiap kali selepas Isya’, ibu yang bernama Nur ini tidak dapat menahan perasaan rindu yang begitu menggamit hatinya. Selepas solat Isya’ bersama suaminya, berdoa, solat sunat dan melipat telekungnya, Nur akan turun ke tingkat bawah. Suaminya tidak pernah tahu apa yang dilakukannya.

Kemudian, Nur akan mengambil surat khabar yang telah disusun di tepi rak kasut di luar rumah. Surat khabar tersebut akan dicerai-ceraikannya, kemudian ditimbun-timbunnya sehingga menjadi sebuah bukit. Ruang tamu menjadi tempat untuk dia berbuat sedemikian. Kemudian Nur akan tersenyum sendirian.

Setelah itu, sofa yang rapi di ruang tamunya itu akan diterbalikkan dan bantal sofa tersebut akan ditumbuk-tukmbuknya, sama seperti yang dilakukan oleh arwah anaknya, Adli. Kemudian Nur akan senyum kembali.

Dalam hati, dia bergumam sendirian..

“Inilah perkara yang tidak pernah aku bersyukur pada suatu ketika dahulu…”

Walaupun dengan air mata darah sekalipun, ia tidak akan dapat mengembalikan nikmat anak itu pada Nur. Nur kini akur dengan ketentuan-Nya, pasrah dan berdoa agar ujian yang Allah berikan padanya mendapat ganjaran yang terbaik di sisi-Nya.

Tanyakan pada diri masing-masing.. Adakah aku bersyukur dengan apa yang ada di sekeliling aku?

Adakah aku bersyukur dengan ibu bapa yang ada di sisiku? Ibu telah melahirkanku, mereka menjagaku, memberiku pakaian, tempat tinggal dan makanan. Tapi adakah aku bersyukur?

Adakah aku bersyukur dengan nikmat abg, kakak dan adikku? Mereka telah hidup bersama denganku selama beberapa tahun, tapi adakah aku telah memberikan apa yang terbaik untuk mereka?

Adakah aku bersyukur dengan nikmat kesihatan tbuh badan, kaki tangan dan kulit sedangkan ramai manusia tidak dapat menikmatinya?

Jikalau aku bersyukur, apakah tindakan yang aku lakukan?

 

Tanyakanlah pada diri anda secara jujur. Jika jawapannya tidak, maka buatlah perubahan. Bersyukurlah dengan ibu bapa yang ada di hadapan kita. Ramai manusia yang tidak dapat menikmati kebahagiaan hidup bersama kedua ‘permata’ di sisi. Tapi kita sentiasa ada mereka menemani di samping setiap masa. Peluklah, ciumlah mreka dan luahkanlah rasa kasih sayang kamu pada mereka.

Bersyukurlah dengan berbuat baik terhadap abg, kakak dan adik kita. Walau benci mana pun kita pada mereka, mereka tetap saudara kita. Tidak dapat dipisahkan sehinggalah ke alam akhirat. Ada rakan-rakan kita yang kahukan abg, kakak dan adik tetapi tidak kesampaian. Tetapi kita sentiasa ada mereka di sisi.

Bersyukurlah sekiranya kita ada anak suatu hari nanti. Mreka merupakan anugerah yang tidak terhingga. Ramai manusia tidak mampun untuk memiliki anak sendiri.. Walaupun telah mencuba sedaya upaya. Maka anak yang kita lahirkan tersebut, jagalah dan didiklah dengan acuan agama Islam yang syumul (sempurna).

Bersyukurlah dengan apa yang kita ada

Categories: Uncategorized Tags: